Followers

Monday, August 9, 2010

RAMADHAN MALAYSIA, BANGLADESH DAN INDONESIA

Insyaallah esok kita akan mulakan ibadah puasa Ramadhan. Inilah bulan yang ditunggu tunggu oleh sekalian umat Islam. Bulan yang mengangkat martabat umat. Inilah masa ketikanya kita berasa amat hampir dengan Allah swt. Ini masa ketikanya kita berasa kecil dan tiada apa apa melainkan rahmat dan kasih Allah jua.

Semasa saya kecil dahulu ( 30-35 thn yang lalu ) inilah bulan yang palin saya nantikan. Selain Hari Raya , Ramadhan adalah bulan rezeki bagi saya. Masa more dan masa menikmati juadah selepas Tarawikh adalah saat yang tidak pernah dilepaskan. Rakan rakan sebaya juga begitu.

Daging kari bersama ubi hanya dapat kami rasai pada Bulan Ramadhan atau pada majlis perkahwinan. Biasanya orang sebaya kamilah yang diutamakan semasa more ni. Seingat saya pada masa itu seluruh jemaah semacam sebuah keluarga. Saya tidak dapat mengesan sebarang pertentangan politik pada masa itu.

Pada masa itu saya juga mempunyai pelbagai keinginan dan selera. Tetapi tidak pernah lahir dari mulut saya sebarang permintaan kerana saya tahu amat sukar bagi keluarga saya untuk memenuhi permintaan tersebut.

Umumnya masyarakat di kampung saya tergolong dalam golongan miskin. Ibu bapa bertungkus lumus bekerja. Pagi petang membanting tulang. Jika dibayangkan sekarang, saya dapat rasakan keletihan mereka.

Sekarang anak anak mendapat hampir semua yang mereka ingini. Bahkan mereka boleh memilih. Kadangkala sehingga ke peringkat membazir.

Semua ini adalah petanda kemakmuran negara. Negara kita makmur sebenarnya. Kerajaan telah berjaya mengubah kehidupan rakyat dengan dasar dan perancangan yang dilakukan.

30 tahun dahulu bapa saya dan bapa rakan rakan saya mengasihi kami sebagaimana kita mengasihi anak anak kita sekarang. Malangnya mereka tidak mampu memenuhi kehendak anak anak sebagaimana yang kita lakukan kepada anak anak kita sekarang.

Justeru marilah kita hayati Ramadhan ini dengan menundukkan diri, sujud dan bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana anugerahi kita kehidupan yang lebih baik. Hakikatnya kita tidak mewarisi kemiskinan keluarga.

Usah pula kita berfikir bahawa semua kerajaan sama. Di Bangladesh ada orang mati berebut roti pada bulan Ramadhan. Ada orang terbunuh di Pakistan semasa majlis mengagihkan bantuan berbuka puasa.

Di Malaysia ada orang mati atau jatuh sakit kerana makan berlebihan. Jadi marilah kita merenung dan berfikir. Mari kita satukan hati dan perasaan untuk berusaha dan berikhtiar mempastikan kerajaan ini terus kekal. Memang ada kelemahan, kita perbaiki bersama.

Kepada anak anak kita ingatkan, kita boleh berubah dan mengubah sesuatu tetapi dapatkah kita pastikan perubahan itu akan memberikan sesuatu yang lebih bermakna atau mungkin kita akan lebih derita.