Followers

Wednesday, July 20, 2011

KEGILAAN PEMBANGKANG, KELEMAHAN KERAJAAN DAN KEBEKUAN UMNO

KOMBINASI YANG MUNGKIN MENGGAGALKAN TRANSFORMASI DS NAJIB.

Umum hakikatnya agak kerap mendengar tentang transformasi menyeluruh yang diilhamkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Rakyat terbanyak barangkali sehingga sekarang gagal memahami makna transformasi, menghayati kesannya bahkan kakitangan kerajaan, anggota parti turut keliru dengan apa yang cuba dilakukan oleh pemimpin kita.

Ada tiga unsur pada pandangan saya menjadi penyumbang kepada kegagalan ini.

1. Kita memiliki barisan pembangkang paling buruk di dunia. Sehingga kini kita tidak pernah mendengar mana mana pemimpin pembangkang menegur kerajaan dan dalam masa yang sama memberikan cadangan yang membina.

Amalan pembangkang di Malaysia ialah mencari kelemahan kerajaan
terutama yang bersifat peribadi, menyebar fitnah, menghasut dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.

Pembangkang bukan sekadar ghairah kepada kuasa tetapi sampai kepada tahap sanggup melihat negara bangsa runtuh jadi debu.

2. Kerajaan pula kelihatan ' terkontang kanting ' melakukan apa sahaja untuk rakyat. Barangkali transformasi negara hanya banyak didedahkan oleh Perdana Menteri sendiri.

Jabatan Kerajaan umumnya gagal berfungsi secara jelas menjayakan transformasi, menjelaskan kepada rakyat untuk difahami dan pentadbiran berjalan seperti biasa, seperti dulu dulu.

Sebagai contoh, jika transformasi berlaku dengan baik dan difahami rakyat terbanyak, tidak mungkin Bersih 2 baru baru ini berlaku. Dalam konteks ini yang ternyata telah gagal ialah terutamanya Menteri Dalam Negeri.

3. UMNO sebagai parti tunjang negara sama sekali ' tidak hidup' dalam semua perkara. Mendaftar pengundi baru gagal, menjaga pengundi lama juga kurang berkesan.

UMNO kelihatan ' tiada apa apa kuasa ' pun selain menjalankan persidangan cawangan dan bahagian. Pada tahun 60an dan 70an pemimpin UMNO akan sentiasa turun ke akar umbi menerangkan dasar dasar kerajaan. Kesannya ahli UMNO sentiasa berasa bangga menjadi ahli UMNO dan dalam masa yang sama mengasihi kerajaan.

Kemungkinan ada pandangan bahawa transformasi kerajaan ini lebih kepada ekonomi. Jika pun pandangan ini benar, transformasi atas apa matlamatpun akan mengubah keseluruhan sistem menjadi semakin baik.

Kita tidak berkuasa untuk mengubah ( perkara 1 ) tetapi kita mampu memperbaiki ( perkara 2 dan 3 ). Bahkan jika kita tidak bekerja keras menjayakannya, percayalah ia hanya akan jadi bahan baik yang terbuang.