Followers

Wednesday, September 8, 2010

BENARKAH ADA HARI KEMENANGAN UNTUK KITA ?

Sebentar tadi telah diumumkan bahawa Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010. Mari kita bersyukur kerana kita masih lagi berpeluang meraikan hari kejayaan dan kemenangan ini dalam suasana aman dan makmur.

Dari dahulu lagi kita dididik bahawa Hari Raya adalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Umumnya di Malaysia kita merayakan hari indah ini secara meriah dan gembira. Budaya kita ialah yang kaya dan berpeluang akan membantu yang miskin dan susah agar sama sama menikmati Hari Raya.
g
Sekiranya kita berumur 40 tahun maka telah 40 kali kita meraikan hari kemenangan ini. Jika 60 tahun umur kita maknanya kita berpengalaman berhari raya selama 60 kali. Untuk sekali ini, dalam keadaan umat Melayu Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan marilah kita mengambil sedikit masa untuk menilai adakah kita telah mencapai ' kemenangan' sebenarnya atau kita menyambut hari bahagia ini sebagai satu ritual streotaip saban tahun.

Adakah berhak kita dikatakan ' menang ' jika kita masih lagi mempunyai rasa untuk jatuh menjatuhkan sesama sendiri ? Adakah kita berhak mendakwa diri kita ' menang ' jika kita masih selesa menyebarkan fitnah dan mengadu domba ? Adakah ibadah puasa yang kita jalani saban tahun telah berjaya menjadikan kita orang yang bersyukur ? Adakah kita telah berpuasa dengan bermakna jika setiap malam kita mengaturkan majlis tazkirah bagi mengindoktrinasi umat Islam agar bangkit menentang pemerintah yang selama ini menyediakan suasana amat kondusif untuk kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lain ?

Atau mari kita bertanya, adakah telah mencapai kemenangan kita ini jika kita menyokong orang kafir yang mengusir saudara kita dari kampung halaman mereka ? Benarkah kita telah menang jika kita menipu, memperdaya orang orang yang percaya kepada kita dengan janji yang tidak pernah cuba kita tunaikan?

Kita tanyalah diri kita, layakkah kita digelar pemenang jika kita berusaha bersungguh sungguh menjatuhkan pihak yang selama ini menyediakan ruang dan peluang untuk hidup melebihi keselesaan biasa ? Menangkah kita jika rumah Allah yang dibina oleh orang yang kita benci , kita jadikan tempat kita melepaskan dendam kesumat ?

Tidakkah kita malu untuk mengaku menang jika kita menolak kebaikan dan menggantikannya dengan keburukan yang memungkinkan kehancuran ? Akhirnya marilah kita bertanya diri kita adakah puluhan tahun kita berpuasa dan kesannya kita tidak pernah mendapat sebarang pengajaran selain lapar dan dahaga ?

Marilah kita bertanya kepada diri kita pada hari kemenangan ini, apakah kita ini orang yang menang atau kita sekadar menjadi sebahagian daripada ' kemenangan yang palsu'?
Kepada pembaca, jika kita gagal bertanya dan menjawab dengan betul soalan soalan tadi dan berusaha melakukan perubahan maka bersedialah untuk di masa masa yang akan datang menangisi hari yang dikatakan ' hari kemenangan '.