Followers

Saturday, July 30, 2011

KITA SEDANG MELANGKAH MASUK...



kita sedang melangkah masuk
ke taman ramadhan yang indah
sekali lagi

ada pohon hidayah
yang rimbun
ada bunga kasih
yang santun

ramadhan ini
ada saudara tidak sempat mengucup sahur
pergi diajak tuhan

ada saudara tidak betah meneguk tarawikh
telah berpergian

demikian tuhan mengatur
ada yang langsung meratip hayat
ada yang pamit mengundur diri.

hayat ini singkat, saudara
kita mungkin tiada lagi ramadhan depan
mari hayati ramadhan ini.


PAK SAMAD YANG MALU...

KERANA AMBIGA , GUGUR PERJUANGAN !

Asalnya Pak Samad Said berjuang demi bahasa. Ini modalnya. Walaupun umum tahu ada keinginan Pak Samad tak dapat kerajaan penuhi.

Seperti biasa, Pakatan bijak mencuri peluang. Pak Samad adalah tokoh yang dokenali ramai. Tapi itu tidak penting. Yang penting Pak Samad adalah orang yang kecewa.

Seperti komunis, Pakatan bijak mengambil kekecewaan orang untuk jadi bahan dan alat. Dengan segera Pak Samad jadi sebahagian daripada perjuangan mereka.

Akhir akhir ini Pak Samad tidak lagi memperjuangkan bahasa. Mendaulatkan Bahasa Melayu bukan lagi agenda Pak Samad.

Pak Samad telah menukarkan matlamat perjuangannya kepada menyuburkan demokrasi. Mengapa ?

Sebagai' pejuang rakyat', Pak Samad sangat rapat dengan Ambiga dan Lim Kit Siang. Kedua dua mereka tidak pernah menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa rakyat.

Demikianlah Pak Samad. Selepas ini belum tahu apa pula nak diperjuangkannya..


Friday, July 29, 2011

MALAYSIA VS SINGAPURA...

BUKTI UMNO TAK BUAT KERJA !

Kita telah sama sama menyaksikan pasukan Malaysia yang sekadar seri dalam perlawanan malam tadi. Kesannya Malaysia gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya setelah tewas perlawanan pertama.

Tapi bukan ini yang mahu saya bincangkan. Saya tertarik dengan semangat tinggi yang anak anak muda kita tunjukkan semasa memberi sokongan kepada pasukan negara.

Mereka menunggu ke minit terakhir walaupun tahu Malaysia sudah pasti tidak berpeluang untuk menang. Inilah patriotik atau cinta negara.

Saya yakin jika dipandu dan dibimbing kecintaan kepada negara ini akan pergi lebih jauh. Mereka yang kasihkan negara pasti tidak akan melakukan sesuatu yang menggugat keamanan.

Mereka yang cinta negara pasti tidak akan bersama membina dan membangunkan negara. Mereka tidak akan termakan hasutan walau dari mana pun datangnya.

Malangnya mereka adalah golongan yang terabai. UMNO khasnya tidak ada program khas untuk mereka. UMNO mengabaikan aset yang amat berharga.

Pembangkang yang rajin dan bijak memanipulasi akhirnya menang dalam usaha menggoda anak anak muda ini. UMNO kekal dengan kepercayaan bahawa ' kita ' pasti menang kerana sejarah membuktikan begitu.

Namun saya mempunyai keyakinan bahawa UMNO akhirnya berkubur kerana mempunyai kepercayaan yang salah !


Monday, July 25, 2011

HANTU DAN PENGUNDI HANTU, KETAKUTAN YANG TIDAK PERNAH BERASAS.

ORANG MELAYU TERPEDAYA SECARA MUDAH.


1. Akhir akhir ini , masyarakat dihidangkan dengan begitu banyak cerita hantu samada di pawagam mahupun di kaca TV. RTM dan TV3 berlumba lumba menyajikan kisah yang pada pandangan saya amat tidak masuk akal dan sama sekali tidak membantu menjayakan hasrat dan matlamat negara.

Dalam masa yang sama pusat rawatan tradisional turut tumbuh seperti cendawan termasuklah yang menggunakan nama rawatan Islam. Saya diberitahu bahawa untuk kebanyakan penyakit, hantu dikatakan sebagai antara punca utamanya.

Baru baru ini seorang rakan bertungkus lumus menyediakan 40 jenis kuih bagi memenuhi syarat membunuh hantu yang menyebabkan ibunya sakit. Setelah berjaya, ibunya masih sakit dan kemudiannya terpaksa dibawa ke hospital kerajaan.

Kajian dan rawatan doktor mendapati ibu ini mengalami masalah kencing manis yang serius dan kini sedang mengalami proses pemulihan setelah mendapat dan mengikut nasihat doktor.

Rakan saya sehingga sekarang masih tidak berpuas hati kerana tertipu oleh bomoh yang mengatakan bahawa ibunya memelihara hantu yang tidak dijamu dengan betul.

2. Di sisi yang lain, PAS sedang sedaya upaya menghasut rakyat untuk mempercayai bahawa selama ini mereka gagal akibat wujudnya pengundi hantu yang memenangkan UMNO.

Segala jentera parti digunakan untuk menyebarkan kepercayaan ini sehingga timbul keyakinan dalam kalangan penyokong mereka bahawa memang benar penipuan berlaku.

Yang menjadi pertanyaan ialah mengapa SPR melayan dakwaan ini sehingga ianya seakan akan perkara yang benar benar berlaku.

Sehingga sekarang, setelah bertahun tahun , pihak yang membuat dakwaan tidak pernah mengemukakan bukti secara sahih. Manakala mereka terus menyertai pilihanraya dengan ' kesedaran' mereka akan kalah kerana penipuan.

Akhirnya, saya kadangkala tertanya tanya, mengapa hanya orang Melayu Islam sahaja yang begitu ghairah dan percaya kepada 'hantu'?



Friday, July 22, 2011

PEMBUNUH SEBENAR BAHARUDDIN AHMAD DIKENALPASTI !

PAS, AMBIGA, BERSIH 2 WAJIB BERTANGGUNGJAWAB.

Sekiranya kita menggunakan rumus yang sama yang digunakan oleh Pakatan Pembangkang, maka kita akan mendapat jawapan siapa yang sewajarnya dipertanggunjawabkan terhadap kematian Allahyarham Baharuddin Ahmad.

DAP telah menstruktur pemikiran keluarga Teoh Beng Hock dan penyokong mereka , bahawa jika pun benar mendiang membunuh diri ia adalah disebabkan 'gangguan terhadap emosi mendiang '.

Gangguan ini adalah kesan tekanan yang diterimanya semasa soal siasat oleh para penyiasat SPRM.

Tekanan emosi boleh berlaku dengan pelbagai cara. Saya berpandangan Allahyarham Baharuddin juga turut mengalami tekanan yang sama. Ucapan ucapan pemimpin pembangkang, rangsangan mereka, hasutan rakan rakan boleh juga menjadikan emosi Baharudin tertekan.

Tekanan yang kuat ini akhirnya menjadi gangguan yang menyebabkan Baharudin tidak bertindak betul. Dalam kesedaran bahawa kesihatannya tidak sesuai untuk menyertai Bersih 2, beliau tetap menyertainya.

Beliau juga didapati bertindak berlebihan apabila ' melarikan'diri dalam keadaan cemas dan bimbang melampau. Ini yang menyebabkan beliau tumbang dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Secara mudah mari kita membuat rumusan, bahawa jika PAS tidak melakukan rangsangan dan hasutan melampau, Baharudin tidak akan menyertai Bersih 2. Beliau tidak akan tumbang dan pasti beliau tidak akan meninggal dunia di situ.

Sebagai permulaan, mari kita membuat kesimpulan awal bahawa Baharudin sebenarnya dibunuh oleh PAS dan rakan rakan mereka !




Thursday, July 21, 2011

MAT SABU DITUDUH MENIPU !

HARAP POLIS TERUSKAN DAKWAAN...

Malaysiakini hari ini melaporkan Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS mungkin akan didakwa kerana menipu dengan tujuan untuk menjatuhkan imej PDRM.

Saya mewakili rakyat Malaysia benar benar berharap agar pihak polis mendakwa Mat Sabu supaya rakyat tahu sikap sebenar Mat Sabu.

Media pembangkang membesarkan berita Mat Sabu yang membonceng motorsikal telah DIREMPUH DENGAN TRAK. Malangnya pemandu motorsikal berkenaan tidak diberitakan keadaannya.

Kalau kita bayangkan ' REMPUH ' dan bayangkan pula ' TRAK '.
Tidak mungkin Mat Sabu mampu berceramah sehari selepas peristiwa tersebut.

Penipuan terbaru Mat Sabu ialah apabila beliau mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Swasta. Mat Sabu yang kononnya pejuang rakyat, turut menderita bersama rakyat telah memilih
' rawatan mewah ' untuk kecederaan ringannya.

DS Najib sebagai PM telah menerima rawatan di HKL apabila diserang dengan campak.

Tahniah PDRM. Usah berundur. Usah peduli tohmah pembangkang. Berjuta rakyat ingin tahu tentang penipuan Mat Sabu.




Wednesday, July 20, 2011

KEGILAAN PEMBANGKANG, KELEMAHAN KERAJAAN DAN KEBEKUAN UMNO

KOMBINASI YANG MUNGKIN MENGGAGALKAN TRANSFORMASI DS NAJIB.

Umum hakikatnya agak kerap mendengar tentang transformasi menyeluruh yang diilhamkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Rakyat terbanyak barangkali sehingga sekarang gagal memahami makna transformasi, menghayati kesannya bahkan kakitangan kerajaan, anggota parti turut keliru dengan apa yang cuba dilakukan oleh pemimpin kita.

Ada tiga unsur pada pandangan saya menjadi penyumbang kepada kegagalan ini.

1. Kita memiliki barisan pembangkang paling buruk di dunia. Sehingga kini kita tidak pernah mendengar mana mana pemimpin pembangkang menegur kerajaan dan dalam masa yang sama memberikan cadangan yang membina.

Amalan pembangkang di Malaysia ialah mencari kelemahan kerajaan
terutama yang bersifat peribadi, menyebar fitnah, menghasut dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat.

Pembangkang bukan sekadar ghairah kepada kuasa tetapi sampai kepada tahap sanggup melihat negara bangsa runtuh jadi debu.

2. Kerajaan pula kelihatan ' terkontang kanting ' melakukan apa sahaja untuk rakyat. Barangkali transformasi negara hanya banyak didedahkan oleh Perdana Menteri sendiri.

Jabatan Kerajaan umumnya gagal berfungsi secara jelas menjayakan transformasi, menjelaskan kepada rakyat untuk difahami dan pentadbiran berjalan seperti biasa, seperti dulu dulu.

Sebagai contoh, jika transformasi berlaku dengan baik dan difahami rakyat terbanyak, tidak mungkin Bersih 2 baru baru ini berlaku. Dalam konteks ini yang ternyata telah gagal ialah terutamanya Menteri Dalam Negeri.

3. UMNO sebagai parti tunjang negara sama sekali ' tidak hidup' dalam semua perkara. Mendaftar pengundi baru gagal, menjaga pengundi lama juga kurang berkesan.

UMNO kelihatan ' tiada apa apa kuasa ' pun selain menjalankan persidangan cawangan dan bahagian. Pada tahun 60an dan 70an pemimpin UMNO akan sentiasa turun ke akar umbi menerangkan dasar dasar kerajaan. Kesannya ahli UMNO sentiasa berasa bangga menjadi ahli UMNO dan dalam masa yang sama mengasihi kerajaan.

Kemungkinan ada pandangan bahawa transformasi kerajaan ini lebih kepada ekonomi. Jika pun pandangan ini benar, transformasi atas apa matlamatpun akan mengubah keseluruhan sistem menjadi semakin baik.

Kita tidak berkuasa untuk mengubah ( perkara 1 ) tetapi kita mampu memperbaiki ( perkara 2 dan 3 ). Bahkan jika kita tidak bekerja keras menjayakannya, percayalah ia hanya akan jadi bahan baik yang terbuang.


Monday, July 18, 2011

NIK AZIZ JUGA AKAN DIBICARAKAN DI MAHKAMAH RABBUL JALIL

BERFIKIR DAN BERCAKAP SEOLAH OLAH TERKECUALI DOSA...

Saya membaca ulasan Nik Aziz Nik Mat berkaitan tindakan PAS mentaati kehendak DAP di Kedah. Seperti biasa Nik Aziz meletakkan hukum bersalah kepada UMNO dan Utusan Malaysia kerana menjadikan perkara ini sebagai bahan berita.

Sesuatu yang amat diketahui umum ialah Nik Aziz bukanlah jenis orang yang boleh menerima pandangan orang lain termasuk pimpinan PAS yang lain. Nik Aziz juga tidak berupaya berhujjah kerana beliau dikatakan seorang yang amat emosional.

Oleh yang demikian , saya menulis artikel ini dengan kesedaran bahawa satu masa kita akan pergi mengadap Tuhan. Kita akan ditanya apakah yang kita lakukan sepanjang umur usia kita.

Saya ingin meyakinkan diri saya bahawa satu masa saya telah mengingatkan Nik Aziz tentang dosa dan pahala, tentang hari pertang
gungjawaban di hadapan ALLAH.

Penindasan DAP terhadap PAS bukan lagi persoalan politik kepartian.Lebih daripada itu DAP sedang menunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang lemah, agama yang mudah dijajah.

Bukan sekali, bahkan berkali kali. PAS sentiasa merendah dan beralah.PAS bukan Islam tetapi dunia sedang dimomokkan sebaliknya.

Islam bukan ' riuh rendah dan sorak sorai '. Islam ialah pemikiran, sikap dan perlakuan. Malangnya PAS berjaya kelihatan Islam tetapi sentiasa pula berjaya kepada DAP.

Nik Aziz wajar sedar , tanpa sebarang komentar, ulasan dan berita dari mana mana media atau mana mana pihak sekalipun, realiti yang berlaku ialah PAS telah tunduk dan patuh kepada DAP mengatasi kepatuhan kepada ALLAH.

Sebagai Mursyidul Am, Nik Aziz sewajibnya menegur Azizan Razak bukannya meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Jika saya berpeluang saya ingin mengingatkan diri saya dan Nik Aziz,
takutlah kepada ALLAH. Kita boleh perdaya semua orang untuk memenuhi cita cita peribadi kita, tetapi kita tak mungkin mampu memperdaya ALLAH yang maha besar.


Thursday, July 14, 2011

SAJAK PALSU PAK SAMAD SAID

LANGSIR MERDEKA

Jendela yang tersenyum segar langsirnya
menghayati semangat bumi warisan bertuah
Hati syahdu seperti di pelabhan aman
selalunya begitu kita hargai kemerdekaan !

Tiada rasa gementar,sangsi diri pun tiada
kini sedamai itu bernafasnya bumi ibunda.

Di mana tapak dimula tempat segar berdiri
ke mana arah bahtera pastinya ke tulus hati.
Memang segala dirangsang menyanjung bangsa
rakyatnya diasuh supaya mencintai negara.

Setiap fajar begitu dihayati ufuk merdeka
kebahagian yang wajib kita membinanya.

A. Samad Said

2002

Catatan : Sajak ini ditulis dan selalu dideklamasi dalam program sambutan kemerdekaan oleh Pak Samad Said. Agaknya apa yang berlaku kepada Pak Samad sehingga beliau sanggup bersekongkol dengan kelompok yang sedang menggadai maruah bangsa ?


Tuesday, July 12, 2011

MENCARI MAKNA DI SEBALIK BERSIH 2


Bersih 2 telahpun berlalu beberapa hari. Saya membaca pelbagai kenyataan daripada pelbagai pihak mengulas dan memberi tafsiran mengikut kecenderungan sendiri.

Saya ingin menyatakan pandangan berasaskan pemerhatian saya sebagai rakyat amnya dan sebagai orang Melayu Islam khasnya.

1. Bersih 2 walaupun tidak mencapai target penganjur dari sudut penyertaan tetapi tetap juga berlangsung dan menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah negara.

2. Apakah pendidikan kita telah gagal kerana saya yakin pendemo yang turun berbekalkan emosi benci yang mendalam. Tidak kira apa jua alasan yang diberi, emosi ini adalah emosi ( - ) yang yang pastinya berjaya membenam rasioanal individu terbabit. Pendidikan kita yang bermatlamatkan perkembangan manusia secara seimbang sewajarnya dikaji semula.

3. Langkah langkah pencegahan hakikatnya tidak berlaku. Semua pihak saya lihat mengambil langkah tunggu dan lihat sehingga ke saat akhir.
Menangkap pendemo atau aktivis beberapa hari sebelum 9 Julai adalah langkah menghukum, bukan lagi mencegah.

4. Kerajaan bertindak secara berpetak. Masing masing agak ' tidak berani' barangkali. Hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang mengeluarkan kenyataan.

Itupun pada saya agak longgar dan kurang meyakinkan. Menteri Pengajian Tinggi, Ketua Setiausaha Negara pada saya telah gagal sama sekali mengeluarkan kenyataan jelas dan tegas.

5. Pemimpin BN ( semua parti ) tidak berjaya sama sekali mengeluarkan kenyataan jelas menentang Bersih. Hakikat bahawa Bersih 2 adalah cerita politik kepartian sangat jelas tetapi dibiarkan begitu sahaja.

Apa akan berlaku selepas ini.

Percayalah, sekurang kurang 2 perkara yang merugikan akan berlaku.

1. Kegagalan bertindak tegas terhadap mana mana individu yang menyokong Bersih 2 akan menyebabkan sokongan terhadap pembangkang akan meningkat walaupun mereka sebahagiannya tidak jelas apa yang mereka sokong.

2. Penyokong dan ahli UMNO khasnya di akar umbi akan rasa kecewa kerana Kerajaan UMNO / BN dilihat sebagai gagal dan tidak berani bertindak. Akan timbul nanti perasaan ' apalah UMNO !'.

Ini masa dan ketikanya. Jika kita bertindak betul, kita akan menuai hasilnya untuk anak cucu.


Sunday, July 10, 2011

NIK AZIZ BALIK SERTA MERTA SELEPAS BERSIH 2 GAGAL SECARA MUTLAK !



Barangkali agak sukar juga Nik Aziz mahu mencari nas atau catatan sejarah, menunjukkan bahawa Rasullullah saw pernah lari dari medan perang. Cuma saya pernah terbaca, dalam keadaan tertekan oleh serangan musuh, Rasullullah akan masuk ke dalam khemah, sujud sambil berzikir
' YA HAYYU YA QAYYUM ' berulang kali bagi memohon pertolongan ALLAH. Itu pun masih di dalam medan.

Nik Aziz mengubah kebiasaannya melakukan umrah kali ini. Selalunya di dalam Bulan Ramadhan. Kali ini dalam bulan Saaban. Ibadah sunat yang telah dilakukannya puluhan kali ini telah menyebabkan Nik Aziz meninggalkan KEWAJIPAN menumbangkan kezaliman untuk dijayakan oleh anak buahnya.

Sekiranya Nik Aziz berfatwa bahawa orang yang mati dalam Bersih 2 dianggap syahid maka Nik Aziz telah lari meninggalkan peluang untuk syahid. Inilah bezanya Nik Aziz dengan para sahabat.

Para sahabat berebut mencari syahid manakala Nik Aziz lari meninggalkannya.

Sebaik kembali Nik Aziz sekali lagi membohongi dirinya. " Sepanjang saya terlibat dalam pilihanraya, saya tidak pernah melihat pilihanraya yang telus dan adil ".

Maknanya selama puluhan tahun ini Nik Aziz telah terlibat dengan sesuatu yang mungkar. Redha , menyertai dan bersubahat dengannya.

Demikianlah Nik Aziz. Seumur hidup menanggung derita. Derita batin kerana dendam yang tak pernah selesai. Dalam jiwa tertekan ini, tidak mungkin Nik Aziz redha dengan hidupnya ...


UMNO TAK KAN MENANG KERANA BERSIH 2 GAGAL !



Maka ALLAH tidak pernah redha dengan sebarang usaha meruntuhkan sesuatu yang terbukti baik. Bahkan ALLAH turunkan bantuan bagi mana mana orang yang dikehendakiNya.

Sejarah tercatat betapa Bersih 2 yang diusahakan secara bersungguh sungguh dalam jangka masa yang cukup lama telah gagal secara mutlak.

Ampun maaf, doa Nik Aziz tidak makbul di Tanah Suci Mekah. Atau mungkin ALLAH makbulkan doa Nik Aziz untuk tunjukkan kebenaran kalahkan kezaliman.

Kebimbangan saya ialah UMNO berasa lega dengan kegagalan bersih. Lega yang mendorong UMNO untuk tidak bekerja menemui rakyat, menyelami kesukaran rakyat, merasai denyut nadi rakyat.

Kebimbangan saya ialah jika UMNO berhenti mendaftar pengundi baru yang menunggu untuk mengundi tetapi barangkali tidak tahu caranya.

Saya berharap UMNO tidak seperti PAS. Ghairah melampau terhadap bersih sehingga tidak mampu menerima hakikat mereka telah gagal.

Yang nyata berjaya ialah DAP. Mereka tidak peduli dengan Bersih 2, mereka sekadar menyalakan api, mereka kekal mendaftar paling ramai pengundi baru, mereka kekal menjaga pengundi lama.

Saya berharap UMNO tidak terlupa bahawa makna politik ialah menang pilihanraya...



Friday, July 8, 2011

TOLONG JANGAN TANGKAP ANWAR IBRAHIM !

BIARPUN IA MENGAMUK DI KUALA LUMPUR !

Kalau saya boleh merayu. Saya ingin merayu. Tolong jangan tangkap Anwar Ibrahim.

Saya tahu beliau akan melanggar perintah mahkamah. Beliau akan provok polis ke tahap luar biasa. Beliau akan menggelar polis sebagai anjing, babi dan bangsat.

Saya mohon pihak polis bersabar. Biarkan Anwar melakukan apa sahaja. Anwar mungkin akan mengupah seseorang atau mana mana kumpulan untuk mencederakan dirinya dan meletakkan kesalahan itu akan diletakkan di bahu polis.

Anwar diperlukan hadir di mahkamah pada 13 hb ini. Beliau akan hadir bersama Wan Azizah. Ini yang rakyat nantikan. Biarlah berjuta pengikut mereka merusuh.

Perbicaraan wajib diteruskan. Kali ini kita akan melihat Wan Azizah berbohong di mahkamah. Biarlah dia berbohong. Rakyat akan menjadi saksi.

Rakyat mahu Anwar datang bersama Wan Azizah dari rumah mereka dengan diiringi para peguam dan penyokong. Sudah terlalu lama rakyat menanti untuk mendengar Wan Azizah berbohong.

Kita mempunyai Tuhan yang sama. Yakinlah, sekali ini Anwar akan tumbang dan tidak akan bangun lagi.

Jasa baik pihak berkuasa dipohon. Tangkaplah siapa sahaja kecuali Anwar Ibrahim. Kita akan menyaksikan kebenaran muncul di mahkamah !


Tuesday, July 5, 2011

INILAH YANG TIADA DI DALAM BUKU !

KARISMA DS NAJIB MERUNTUHKAN PAKATAN.

Sejak daripada awal gerakan Bersih 2 tidak mendapat respon melampau daripada DS Najib Razak. Saya sedikit resah pada masa itu kerana menjangka DS Najib juga akan mengambil pendekatan seperti Pak Lah.

Jangkaan saya silap. DS Najib rupanya mempunyai ketenangan melampaui jangkaan saya. Beliau terus melaksanakan tugas tugas PM tanpa ada tanda risau dan resah. Pelbagai pencapaian , lawatan mencari pelaburan berterusan.

Sehingga beberapa kebelakangan barulah DS Najib bersuara dengan jelas, tegas dan berani. Memberi peringatan kepada rakyat betapa pentingnya keamanan dipelihara.

Dalam masa yang sama DS Najib menawarkan mana mana stadium untuk perhimpunan Bersih 2. Najib memilih ketika dan keadaan yang betul bilamana Khalid Ibrahim, MB Selangor tiba tiba mengeluarkan kenyataan.

Tiada yang sanggup menyanggah kenyataan Najib kerana pasti tempiasnya akan terkena Pakatan Rakyat .

Pembangkang sebenarnya terkejut, panik dan keliru. Janji mereka untuk menghimpun sejuta rakyat terpaksa mereka mungkiri. Persiapan telah dibuat untuk demonstrasi jalanan bukan demonstrasi stadium.

Saya tidak fikir pemimpin Pakatan akan mempunyai masa yang mencukupi untuk memulihkan moral pengikut yang merudum. Hanya Ambiga yang bersuara buat masa ini.

Yang pasti , ketenangan DS Najib telah menggulung keghairahan pembangkang dan kerisauan penyokong dan rakyat terbanyak. Inilah yang dikatakan wibawa pemimpin. Setelah segala resah gelisah, beliau tampil membawa harapan...




Monday, July 4, 2011

WARDINA HANYA PETANDA !

JOHAN JAAFAR HARUS PRO AKTIF

Media Prima adalah media konglomerat yang amat berkuasa. Sebahagian besar berita dan maklumat berada dalam tangan mereka. TV 3 misalnya telah bertahun tahun menguasai penonton Malaysia walaupun pelbagai saluran lain muncul satu persatu.

Kerana hubungan rapatnya dengan penonton atau rakyat, TV 3 menjadi salah satu sasaran utama pembangkang. Tentunya pembangkang amat gerun dengan pengaruh TV3.

Banyak juga masalah rakyat telah TV3 berjaya selesaikan. Bersamamu, Aduan Rakyat dan banyak lagi rancangan telah berbukti memberi bekas yang bukan sedikit.

Pun begitu, kisah kehadiran Wardina Safiyah salah seorang pengacara popular TV 3 telah menjadi satu titik hitam kepada kemurnian TV3.

Keupayaan TV3 menghayati aspirasi kerajaan dan membantu rakyat untuk sama sama memahaminya memang diakui. Bahkan TV3 wajib taat dan patuh pada kerajaan semasa kerana mereka juga sedang menghirup madu kemakmuran yang terhidang.

TV3 boleh menggantung bahkan memecat Wardina. Tetapi saya ingin juga bertanya bagaimana Wardina yang 'roh dan jiwanya' tidak bersama kerajaan boleh berada pada ' kedudukan paling dekat' dengan rakyat?

Adakah setelah bertahun tahun , TV 3 tidak ada sebarang program 'pendidikan kenegaraan' untuk kakitangannya? Kita bercakap tentang Wardina.

Bagaimana pula dengan wartawan, pegawai, pengurus, pemandu, kerani dan lain lain warga TV3? Adakah pihak atasan Media Prima juga sama seperti pegawai tinggi di Kementerian Kementerian yang anggotanya menentang kerajaan?

Atau adakah mungkin pihk atasan ini sama sekali tidak peduli kerana terlalu selesa dengan apa yang sedang mereka nikmati ?


Friday, July 1, 2011

BENAR ! BERSIH = KOMUNIS !

BELUM ADA HUJAH MENAFIKANNYA..

Allahyarham Tan Seri Ghazali Shafie memberikan ulasan di Parlimen pada awal tahun 70 an, bahawa walaupun PKM telah tiada lagi di hutan hutan di Malaysia, fahaman dan kaedah perjuangan mereka mungkin berada di mana mana.

Allahyarham antara lain mengingatkan, komunis bertindak atas konflik dan masalah lalu menyuburkan benci dan marah rakyat kepada kerajaan yang sah. Mereka akhirnya akan mengajak rakyat bangkit memberontak dan menggulingkan kerajaan.

Kenyataan ini dibuat sewaktu ' CERITA BERSIH ' belum timbul sama sekali. Tentunya Allahyarham tidak berhasrat untuk menghalang perhimpunan aman yang dibenarkan perlembagaan.

Komunis juga dikatakan akan menyerang institusi penting yang rapat dengan kerajaan agar ianya runtuh dan membawa keruntuhan kerajaan sekali gus.

Lihatlah bagaimana kita dapat mendengar saban hari PDRM ditohmah, difitnah dan diperlekeh. Kita mendengar Institusi Raja khasnya YD Agung cuba diseret.

Mulai semalam pula Istitusi Islam pula diceroboh. Kononnya Khatib telah menggunakan mimbar untuk menggagalkan Bersih 2.

Saya melihat susunan kerjanya. Saya melihat siratan maknanya.

Sehingga kini saya belum mendengar sebarang hujah menafikan KOMUNISME cuba dihidupkan. Sehingga itu, mari kita sama sama membuat pendirian bahawa memang benar BERSIH 2 adalah sebahagian awal mainan komunis di negara kita.