Followers

Wednesday, March 2, 2011

MELAYAN GELORA ( 2 )


MULAKAN SEKARANG...

Saya telah beberapa kali menyebut dan ingin menyebut sekali lagi betapa pilihanraya adalah seni undi dan manusia. Sehebat manapun individu atau parti yang bertanding, ia hanya bermakna apabila individu atau parti itu mendapat undi tertinggi.

Untuk itu seluruh kekuatan UMNO WAJIB bergerak ke arah mencapai matlamat ini. Mari kita tukarkan emosi risau kalah dan ghairah menang menjadi tenaga yang kuat yang merangsang kita bergerak.

Temui pengundi seorang demi seorang. Tanpa kecuali. Seluruh jentera kena bergerak sederap. Pertemuan bersemuka adalah sebaik baik kaedah bagi mendapatkan undi.

Pengundi kita pada pilihanraya lalu, tidak semestinya akan mengundi kita pada pilihanraya ini. Barangkali ada perkara yang melukakan hati mereka yang tidak kita ketahui.

Pengundi khasnya pengundi Melayu mempunyai pemikiran dan kesedaran yang tinggi. Mereka tidak akan mengundi hanya kerana emosi. Mereka mempunyai sebab untuk mengundi.

Sebab inilah yang perlu kita wujudkan agar mereka mengundi kita. Kita ditakdirkan mempunyai kemampuan untuk membantu rakyat. Bantuan hanya dapat diberi jika kita mengetahui keperluan.

Kadangkala pengundi hanya perlukan pendengar. Turunlah agar kita dapat mendengar apa yang mereka mahu katakan. Kita tak boleh lagi mengharapkan pengundi sahaja menjadi pendengar.

Pilihanraya semakin hampir tetapi tidak kita ketahui masanya. Ini bermaksud kita mempunyai masa yang sangat terbatas untuk menemui setiap pengundi.

Kita telah berkongsi rasa yang sama. Tetapi sayugia diingatkan betapa rasa semata mata tidak akan memenangkan kita. Kemenangan kita sebenarnya bergantung kepada sekuat mana kita berusaha. Usah bertangguh lagi. Mari kita mulakan sekarang!