Followers

Sunday, September 19, 2010

KHAIRY JAMALUDIN DAN REEZAL MARICAN, TERPERANGKAP DALAM KERAMAT UMNO.

Sewaktu UMNO dikatakan parti keramat, ia memang sebenarnya keramat. Ia bukan ungkapan retorik atau slogan kosong. UMNO telah melalui banyak pengalaman. UMNO telah menempuh pelbagai ranjau dan duri. Sehingga kini UMNO kekal sebagai salah sebuah parti paling lama bertahan di dunia.

UMNO ditubuhkan dengan keringat dan air mata. UMNO diasaskan oleh raja dan hamba. UMNO berada di istana dan di hujung hujung desa. UMNO ditubuhkan dan dipelihara kerana cinta kasih kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh yang demikian sejarah UMNO membuktikan siapa sahaja yang ingin berpencak di gelanggang UMNO haruslah mengikut adab dan tertib. Anwar Ibrahim adalah contoh terbaik bagaimana kecurangan kepada perjuangan pasti membawa petaka kepada individu berkenaan.

Kini saya melihat ada sekurang kurangnya dua orang tokoh pemuda UMNO yang sedang berpencak di gelanggang UMNO dan mungkin menerima nasib yang sama seperti Anwar jika pembetulan tidak dibuat serta merta.

Khairy Jamaluddin dan Reezal Marican boleh dianggap sebagai tokoh segera dalam UMNO. Mereka naik tanpa akar yang menjalar di bumi. Tiba tiba berada di puncak. Kerana itu barangkali mereka kerap tersasar dan tersilap. Apa jua yang dibuat seakan tidak kena dan tidak sesuai.

Terbaru apabila Reezal Marican meminta Lim Guan Eng mendedahkan sumber yang digunakan bagi sumbangan kepada warga emas di Pulau Pinang. Tindakan ini nampak sensasi tetapi tiada bererti kepada UMNO.

Keperluan sebenar UMNO ialah pengundi. 4 juta orang masih belum mendaftar walaupun layak. Jika Pemuda UMNO berjaya mendaftar mereka saya percaya kita akan menang besar dalam pilihanraya. Khairy dan Reezal adalah anak muda dalam UMNO. Tidak melakukan sesuatu yang betul akan beri kesan buruk kepada UMNO.

Kejayaan sebenar mana mana parti politik ialah memenangi pilihanraya. Khairy dan Reezal bergurulah, belajarlah daripada orang orang lama dalam parti. Usah tersilap dan tersasar kerana sejarah menunjukkan jika kita mengekalkan kesilapan dalam UMNO, kita pasti terkorban, berhati hatilah.

No comments: