Followers

Saturday, September 25, 2010

ANCAMAN KOMUNISME MASIH WUJUD

KUALA LUMPUR 24 September - Kartunis Zunar, aktivis pembangkang hari ini ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

Buku ini antara lain memuatkan isu berkaitan Altantuya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, Datin Rosmah Mansor, kehilangan enjin jet dan lain lain.

Berkaitan dengan penahanan ini saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu salinan pekeliling yang diedarkan kepada orang ramai pada 21 Ogos 1969. Edaran kertas merah jambu ini bertajuk ' Kenangan Untuk Askar Melayu' diusahakan pengedarannya oleh Parti Komunis Malaya sebagai sebahagian ikhtiar mereka menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Di atas kertas tersebut dilukis gambar Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan gambaran sebagai diktator. Dilukiskan juga kartun Sardon Zubir, Khir Johari, Syed Jaafar Albar dan beberapa orang lain.

Matlamat lukisan kartun tersebut ialah tiada lain selain untuk menimbulkan hasutan seolah olah Askar Melayu dan kerajaan tidak mempunyai hubungan yang baik.

Tunku Abdul Rahman ketika mengulas perkara ini menyatakan," Ini adalah antara tindakan komunis dan rakan rakan mereka. Mereka menghasut pasukan bersenjata agar bangkit melawan kerajaan. Mereka( melihat )itu sahaja cara yang ada untuk menumbangkan kerajaan ".

Jadi saya mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan kerana tindakan menahan kartunis Zunar ini. Dah lama dah kartunis upahan ini menggunakan bakatnya untuk menghancurkan negara, agama dan bangsanya.

Saya berharap agar ini adalah permulaan bagi tindakan lebih tegas kepada mana mana petualang yang bekerja keras bagi merosakkan negara tercinta. Semakin tegas kerajaan bertindak semakin cepat strategi komunis ini dapat dipatahkan.

No comments: