" JELAJAH 1 MALAYSIA, BERTAMBAHKAH UNDI KITA ?'
APA YANG INGIN DICAPAI ?
" Saya tidak berharap kepada sesiapa selain daripada PEMUDA. Janganlah tuan tuan berbincang atas sesuatu masalah dengan panas, tetapi apabila balik menjadi sejuk dan lupa. Tuan tuan ingat bahawa daripada mulut tuan tuan pemudalah yang telah mengeluarkan cogankata " MERDEKA " . Saya percaya dengan tenaga pemudalah kita akan mencapai kemerdekaan ".
Petikan ucapan YTM Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj dalam persidangan Agung Pemuda UMNO 3 April 1953.
Demikianlah tingginya pengharapan pimpinan utama parti kepada Pemuda ketika itu. Sejarah kemudiannya membuktikan komitmen Pemuda UMNO yang begitu hebat memperjuangkan kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan di peringkat awal.
Saya bagaimanapun berasa Pemuda telah ' tersilap fokus ' sejak akhir akhir ini. Pemilihan kepimpinan Pemuda kelihatan lebih diberi keutamaan berbanding pilihanraya.
Selepas Persidangan Agung yang lalu, di mana diumumkan ada lebih 4 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum berdaftar, saya tidak dapat melihat ada gerakan bersungguh sungguh yang dilakukan oleh Pemuda untuk mendaftarkan mereka .
Jelajah 1 Malaysia ialah program yang sangat baik tetapi adakah program ini menambahkan pengundi kita adalah satu isu yang lain pula.
Saya bimbang Jalajah 1 Malaysia akhirnya menjadi program ' SORAK SORAI ' semata mata sedangkan hasilnya tiada. Dalam masa yang sama saya tidak nampak bahawa dalam keadaan sekarang inilah program terbaik yang mampu Pemuda jalankan.
Makna politik kepartian ialah memenangi pilihanraya, manakala pilihanraya hanya akan dimenangi oleh parti yang mendapat undi terbanyak.
Inilah keutamaan kita sebenarnya, sudahkan Pemuda bermula ?