1. Akhir akhir ini , masyarakat dihidangkan dengan begitu banyak cerita hantu samada di pawagam mahupun di kaca TV. RTM dan TV3 berlumba lumba menyajikan kisah yang pada pandangan saya amat tidak masuk akal dan sama sekali tidak membantu menjayakan hasrat dan matlamat negara.
Dalam masa yang sama pusat rawatan tradisional turut tumbuh seperti cendawan termasuklah yang menggunakan nama rawatan Islam. Saya diberitahu bahawa untuk kebanyakan penyakit, hantu dikatakan sebagai antara punca utamanya.
Baru baru ini seorang rakan bertungkus lumus menyediakan 40 jenis kuih bagi memenuhi syarat membunuh hantu yang menyebabkan ibunya sakit. Setelah berjaya, ibunya masih sakit dan kemudiannya terpaksa dibawa ke hospital kerajaan.
Kajian dan rawatan doktor mendapati ibu ini mengalami masalah kencing manis yang serius dan kini sedang mengalami proses pemulihan setelah mendapat dan mengikut nasihat doktor.
Rakan saya sehingga sekarang masih tidak berpuas hati kerana tertipu oleh bomoh yang mengatakan bahawa ibunya memelihara hantu yang tidak dijamu dengan betul.
2. Di sisi yang lain, PAS sedang sedaya upaya menghasut rakyat untuk mempercayai bahawa selama ini mereka gagal akibat wujudnya pengundi hantu yang memenangkan UMNO.
Segala jentera parti digunakan untuk menyebarkan kepercayaan ini sehingga timbul keyakinan dalam kalangan penyokong mereka bahawa memang benar penipuan berlaku.
Yang menjadi pertanyaan ialah mengapa SPR melayan dakwaan ini sehingga ianya seakan akan perkara yang benar benar berlaku.
Sehingga sekarang, setelah bertahun tahun , pihak yang membuat dakwaan tidak pernah mengemukakan bukti secara sahih. Manakala mereka terus menyertai pilihanraya dengan ' kesedaran' mereka akan kalah kerana penipuan.
Akhirnya, saya kadangkala tertanya tanya, mengapa hanya orang Melayu Islam sahaja yang begitu ghairah dan percaya kepada 'hantu'?