Followers

Sunday, September 12, 2010

AHMAD MASLAN SAMA MACAM KHAIRY ?


Ahmad Maslan mungkin seorang yang hebat, terpelajar dan berkebolehan. Mungkin. Jika tidak mana mungkin Ahmad Maslan dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO. Dasar UMNO, perkembangan UMNO, Ahmad Maslanlah pelapornya kepada ahli khasnya yang berada di akar umbi.

Oleh kerana UMNO menjadi tunjang kepada kerajaan maka Ahmad Maslan juga wajib menerangkan kepada rakyat dasar dasar kerajaan. Di antara yang masih gagal diberikan kefahaman kepada rakyat ialah

1. 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
2. UMNO Juara Rakyat
3. MBE Model Baru Ekonomi.

Saya berpandangan bahawa sebahagian daripada punca kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional ialah kerana rakyat gagal diberikan kefahaman sepenuhnya mengenai dasar dasar kerajaan. Rakyat barangkali keliru dan tidak jelas. Atau mungkin juga rakyat kurang percaya.

Ini semua menggambarkan betapa Ahmad Maslan mempunyai kerja yang cukup banyak. Bermula dengan melatih jentera di peringkat negeri dan bahagian sehinggalah mempastikan jentera ini berfungsi dengan berkesan.

Ahmad Maslan juga perlu amat berhati hati mengeluarkan kenyataan kerana kesilapan dalam kenyataan memungkinkan kesan yang buruk terhadap parti. Kenyataan Ahmad Maslan yang terkini mengundang beberapa persoalan. Kenyataannya berbunyi " AHLI PERLU BEZAKAN PARTI DENGAN PERKASA".

Persoalannya ialah :-

1. Adakah Ahmad Maslan benar benar memahami denyut nadi ahli UMNO ?
2. Adakah Ahmad Maslan sendiri meragui kesetiaan ahli UMNO ?
3. Jika benar wujud keraguan tentang ' persaingan antara PERKASA dan UMNO adakah Ahmad
Maslan ada cara untuk meningkatkan kualiti ahli UMNO ?
4. Adakah Ahmad Maslan berasa telah gagal memberi kefahaman kepada ahli UMNO ?

Beberapa persoalan di atas perlu dijawab dan disusuli tindak ikut yang bermakna. Jika telah ada kerisauan tentang keberkesanan UMNO dalam memperjuangkan hak Melayu Ketua Penerangan perlu menggerakkan jentera untuk meredakan kerisauan ini. Jika telah luntur keyakinan orang Melayu kepada UMNO Ahmad Maslan kena adakan program memulihkan keyakinan ini.

Saya tidak fikir Ahmad Maslan wajar tampil memberi peringatan peringatan kerana beliau adalah Ketua Penerangan yang diyakini dan dipercayai oleh Presiden parti untuk menawan hati ahli. Setakat ini kita tidak nampak Ahmad Maslan sudah bermula.


30 MINIT : TERANG, JELAS DAN NYATA


30 Minit adalah masa yang amat terbatas. Tidak banyak perkara dapat diperkatakan dalam tempoh sesingkat itu. Tambahan pula yang bercakap adalah Perdana Menteri bagi sebuah negara majmuk dan unik seperti Malaysia.

Tetapi Najib berjaya melakukannya. Inilah bezanya Najib dengan kebanyakan pemimpin lain.
Sewaktu diwawancara dalam rancangan THE CNBC Conversation oleh Martin Soong, Najib telah memberikan jawapan jawapan berbentuk kesimpulan yang sebenarnya jika diteliti dan dihayati akan jadi alat berkesan ke arah membina dan membangunkan negara bangsa.

Selain merangsang penyokong, pengikut dan rakyat terbanyak, kenyataan ini juga merupakan ombak yang boleh meruntuhkan pakatan pembangkang jika ianya digunakan dengan betul. Antara kesimpulan yang telah dibuat ialah :-

1. MBE tidak akan menghakis apalagi menghapus hak bumiputera.
2. MBE menjamin hak rakyat pelbagai kaum yang selama ini sama sama membangunkan negara
3. Kerajaan komited dan yakin akan mampu mencapai hasrat Wawasan 2020
4. Kerajaan tidak menganggap Perkasa dan Tun Mahathir sebagai seteru tetapi menghargai hak
mereka menyuarakan pandangan sebagai orang Melayu
5. Kerajaan yakin dengan pertumbuhan ekonomi dan bekerja keras meningkatkannya.

Sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional , Najib amat jelas dan tegas dengan apa jua dasar, rancangan dan dasar yang perlu dijayakan.

Amat penting disedari ialah Najib perlukan sokongan dan dokongan daripada Jemaah Menteri, pemimpin pemimpin parti semua peringkat, pegawai pegawai kerajaan dan rakyat seluruhnya.
Saya bimbang dalam masa semua pihak ini gagal berperanan dengan berkesan menjadi alat penyampaian yang bermakna, pihak pembangkang dilihat berjaya memutarbelitkannya mengikut keperluan mereka.

Satu kemungkinan yang harus dilihat ialah perlunya diwujudkan satu agensi khusus bagi menerangkan apa jua dasar kerajaan kepada rakyat di samping menjawab tohmahan pembangkang. Ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan dasar yang baik akhirnya mendatang hasil yang tidak memberangsangakan.

Saya percaya, masanya telah tiba untuk Najib lebih bertegas dan berani melakukan penilaian khasnya terhadap para pemimpin kerajaan dan parti. Percayalah , apa jua yang dilakukan untuk kebaikan rakyat dan negara , rakyat pasti akan bersama.