Followers

Wednesday, September 1, 2010

SOI LEK BETUL, MENJUNJUNG 1 MALAYSIA

Inilah yang kita tunggu tunggu sekian lama. Kalau dari dahulu kenyataan seumpama ini dilontarkan, saya yakin tidak banyak masalah akan timbul. Sudah lebih 50 tahun kita merdeka dan kita mengemudi negara secara bersama atas semangat kikitaan. Memang kadangkala ada cabaran tetapi semuanya kita hadapi dengan yakin.

Untuk seketika khasnya selepas PRU 12 , tiba tiba ikatan ini seakan terungkai. Segalanya kelihatan seakan menjadi tidak lagi licin dan lancar. Prasangka, tuding menuding semakin ketara. Ini sebenarnya tempoh krisis dan memang mencabar.

Sebab itu apabila Chua Soi Lek, Presiden MCA mengeluarkan kenyataan meminta agar tindakan diambil terhadap sesiapa jua yang mencetus api perkauman, saya memang menyokong penuh. Soi Lek minta supaya tindakan yang adil dibuat. Dalam konteks ini tentulah Soi Lek merujuk kepada Namewee dan dua orang Pengetua Sekolah.

Sokongan sepenuhnya saya berikan kepada Soi Lek kerana keikhlasannya. Ini bermakna Namewee yang pernah diberi peringatan dalam dua kesalahan yang lalu perlu dikenakan tindakan lebih tegas kali ini.

Manakala dua orang Pengetua yang dikatakan perkauman itu perlu diberi teguran dan nasihat . Itupun setelah siasatan rapi dibuat.

Seperti Soi Lek saya juga berpandangan bahawa masanya telah tiba untuk kerajaan lebih berani menguatkuasakan undang undang. Barangkali Singapura boleh dijadikan contoh dalam hal ini apabila tiada langsung ruang untuk berkata tidak kepada kerajaan. Sekiranya ini dapat dilakukan percayalah Gagasan 1 Malaysia pasti akan dapat dicapai.