Followers

Saturday, September 25, 2010

CUEPACS USAH SEKADAR MEMINTA..


KUALA LUMPUR 25 September- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam ( CUEPACS ) yakin kerajaan akan mempertimbangkan permintaan rakyat bagi mendapatkan bonus bagi tahun 2010.

Presidennya , Omar Osman berkata pihaknya berharap kerajaan akan luluskan bonus sebagai bantuan kepada kakitangan khasnya yang berpendapatan rendah.

" Kakitangan awam merupakan tunjang kepada pembangunan negara, dengan itu saya harap tiada pihak yang mempertikai atau menafikan tuntutan ini", kata Omar.

Katanya lagi , " Bonus ini mampu menyuntik semangat untuk kakitangan kerajaan berkhidmat dengan lebih baik dan berkualiti lagi ".

Saya pertamanya ingin mengucapkan tahniah kepada Omar Osman kerana kegigihannya menjaga kebajikan penjawat awam. Nada Omar juga nampaknya lebih lembut berbanding tahun 2008 yang menyaksikan penjawat awam telah ' memberi
sokongan' kepada Pakatan Pembangkang. Implikasinya undi yang diterima oleh kerajaan ketika itu telah merosot.

Dalam masa yang sama saya mengharapkan CUEPACS dapat mendidik ahlinya agar memahami bahawa bonus adalah kemudahan kepada kakitangan awam bukan kewajipan yang mesti ditunaikan.

Yang wajib dan mesti adalah kakitangan kerajaan menumpahkan taat setia tanpa berbelah bagi kepada kerajaan tempat mereka mencari rezeki bagi menanggung keluarga. Menyedari kerajaan tidak sempurna, kakitangan boleh mengkritik dan memberi teguran tetapi tidak wajar mengkhianati.

Sayugia diingatkan bahawa ' menjadi kakitangan kerajaan adalah pilihan sendiri, bukan arahan atau paksaan mana mana pihak.'

Terdapat banyak kepincangan dalam perkhimatan kerajaan yang menuntut penambahbaikan dari semasa ke semasa. Banyak rungutan kita dengar yang implikasi buruknya tertimpa ke atas kerajaan.

Bantuan kebajikan masyarakat, rakyat hidup daif, layanan tidak mesra dan banyak lagi rungutan sepatutnya tidak timbul lagi khasnya apabila kerajaan pimpinan Datuk Najib dengan jelas mengutamakan kebajikan rakyat.

Memohon bonus adalah hak CUEPACS, mendapat kesetiaan adalah hak kerajaan, mendapat perkhidmatan cemerlang adalah hak rakyat. CUEPACS usahlah sekadar meminta tetapi mestilah juga menawarkan yang terbaik.

ANCAMAN KOMUNISME MASIH WUJUD

KUALA LUMPUR 24 September - Kartunis Zunar, aktivis pembangkang hari ini ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghasilkan buku Cartoon-O-Phobia yang menyentuh isu isu sensitif dan boleh mengganggu ketenteraman awam.

Buku ini antara lain memuatkan isu berkaitan Altantuya, konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, Datin Rosmah Mansor, kehilangan enjin jet dan lain lain.

Berkaitan dengan penahanan ini saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu salinan pekeliling yang diedarkan kepada orang ramai pada 21 Ogos 1969. Edaran kertas merah jambu ini bertajuk ' Kenangan Untuk Askar Melayu' diusahakan pengedarannya oleh Parti Komunis Malaya sebagai sebahagian ikhtiar mereka menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Di atas kertas tersebut dilukis gambar Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan gambaran sebagai diktator. Dilukiskan juga kartun Sardon Zubir, Khir Johari, Syed Jaafar Albar dan beberapa orang lain.

Matlamat lukisan kartun tersebut ialah tiada lain selain untuk menimbulkan hasutan seolah olah Askar Melayu dan kerajaan tidak mempunyai hubungan yang baik.

Tunku Abdul Rahman ketika mengulas perkara ini menyatakan," Ini adalah antara tindakan komunis dan rakan rakan mereka. Mereka menghasut pasukan bersenjata agar bangkit melawan kerajaan. Mereka( melihat )itu sahaja cara yang ada untuk menumbangkan kerajaan ".

Jadi saya mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan kerana tindakan menahan kartunis Zunar ini. Dah lama dah kartunis upahan ini menggunakan bakatnya untuk menghancurkan negara, agama dan bangsanya.

Saya berharap agar ini adalah permulaan bagi tindakan lebih tegas kepada mana mana petualang yang bekerja keras bagi merosakkan negara tercinta. Semakin tegas kerajaan bertindak semakin cepat strategi komunis ini dapat dipatahkan.