Followers

Sunday, September 19, 2010

CATATAN BUAT KHAIRY JAMALUDIN

Saudara Khairy,
Sudah hampir dua tahun saudara menerajui pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Walaupun saudara menang dalam gelora ketidakpercayaan massa, hakikatnya saudara adalah Ketua Pemuda UMNO.

Pilihanraya Umum ke 12 telah meletakkan UMNO dalam keadaan yang amat membimbangkan. Rakyat khasnya umat Melayu menunggu saudara dan rakan rakan pemuda bertindak memulih dan mengangkat kembali martabat UMNO.

Apa yang berlaku kepada UMNO ini bukanlah pertama kali berlaku. UMNO telah ada pengalaman yang luas di masa lalu. Perkara yang hampir sama pernah melanda UMNO pada tahun 1987. Ketika itu saya percaya saudara masih lagi seorang anak kecil.

Apabila krisis berlaku di dalam UMNO atau apabila UMNO kelihatan agak lemah seperti sekarang, komponen akan menunjukkan wajah sebenar mereka. Pada tahun 1987 MCA menjuarai kecurangan ini dengan membuat pelbagai tuntutan. Mereka mendesak dan memaksa.

Bahkan ketika itu mereka sanggup bercantum dengan DAP dan Gerakan membentuk National Joint Action Committee On Chinese Schools.
Mereka menyeru orang Cina berhimpun menyatakan pendirian. Pada masa itu UMNO kelihatan lemah dan tidak berada. Pada masa itulah UMNO dihina.

Ketika itulah Pemuda UMNO bangkit menghimpunkan orang orang Melayu di Stadium Jalan Raja Muda. Bukan hanya pemuda UMNO atau ahli UMNO. Seluruh golongan orang Melayu dihimpunkan. Sederap mereka menyatakan pendirian . Datuk Najib sebagai Ketua Pemuda tampil mempertahankan UMNO dan pemimpinnya yang diperlekeh.

Kesan perhimpunan ini Operasi Lalang dilaksanakan. Tergambar betapa besarnya Perhimpunan Anjuran Pemuda UMNO yang berjaya menghimpun 15 ribu umat Melayu.

Baru baru ini Datuk Najib telah menyeru dan meminta rakyat yang inginkan damai, rakyat yang cintakan keamanan dan rakyat yang kasihkan negara untuk bangkit menyatakan pendirian. Najib yakin dan memang benar lebih ramai rakyat benci kepada hasutan dan perkauman.

Tidakkah saudara berasa bahawa Najib telah begitu merendah diri? Tidakkah saudara berasa perlu melakukan sesuatu untuk menyatakan pendirian ? Ketika inilah sepatutnya saudara bertindak. Satukan perasaan dan fikiran Pemuda. Saudara telah gagal.

Kumpulkan seluruh umat Melayu. Tunjukkan bahawa pada masa UMNO dan pemimpin utamanya diperlekeh dan diperkecil , ada Pemuda UMNO untuk bangun mempertahkannya.
Tapi saudara tidak melakukannya. Sekali lagi saudara telah gagal.

UMNO tidak akan bangkit jika dipimpin oleh pemimpin yang gagal. UMNO akan tumbang jika jiwa gagal tidak diubah.

Belajarlah dari pengalaman Najib- bercakap dan bertindak betul pada masa yang tepat. Atau jika saudara fikir saudara tidak berdaya, berilah laluan. Saudara akan dikenang sebagai pemimpin berjiwa besar. Apa dan bagaimanapun UMNO tetap keutamaan kita demi anak cucu.

KHAIRY JAMALUDIN DAN REEZAL MARICAN, TERPERANGKAP DALAM KERAMAT UMNO.

Sewaktu UMNO dikatakan parti keramat, ia memang sebenarnya keramat. Ia bukan ungkapan retorik atau slogan kosong. UMNO telah melalui banyak pengalaman. UMNO telah menempuh pelbagai ranjau dan duri. Sehingga kini UMNO kekal sebagai salah sebuah parti paling lama bertahan di dunia.

UMNO ditubuhkan dengan keringat dan air mata. UMNO diasaskan oleh raja dan hamba. UMNO berada di istana dan di hujung hujung desa. UMNO ditubuhkan dan dipelihara kerana cinta kasih kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh yang demikian sejarah UMNO membuktikan siapa sahaja yang ingin berpencak di gelanggang UMNO haruslah mengikut adab dan tertib. Anwar Ibrahim adalah contoh terbaik bagaimana kecurangan kepada perjuangan pasti membawa petaka kepada individu berkenaan.

Kini saya melihat ada sekurang kurangnya dua orang tokoh pemuda UMNO yang sedang berpencak di gelanggang UMNO dan mungkin menerima nasib yang sama seperti Anwar jika pembetulan tidak dibuat serta merta.

Khairy Jamaluddin dan Reezal Marican boleh dianggap sebagai tokoh segera dalam UMNO. Mereka naik tanpa akar yang menjalar di bumi. Tiba tiba berada di puncak. Kerana itu barangkali mereka kerap tersasar dan tersilap. Apa jua yang dibuat seakan tidak kena dan tidak sesuai.

Terbaru apabila Reezal Marican meminta Lim Guan Eng mendedahkan sumber yang digunakan bagi sumbangan kepada warga emas di Pulau Pinang. Tindakan ini nampak sensasi tetapi tiada bererti kepada UMNO.

Keperluan sebenar UMNO ialah pengundi. 4 juta orang masih belum mendaftar walaupun layak. Jika Pemuda UMNO berjaya mendaftar mereka saya percaya kita akan menang besar dalam pilihanraya. Khairy dan Reezal adalah anak muda dalam UMNO. Tidak melakukan sesuatu yang betul akan beri kesan buruk kepada UMNO.

Kejayaan sebenar mana mana parti politik ialah memenangi pilihanraya. Khairy dan Reezal bergurulah, belajarlah daripada orang orang lama dalam parti. Usah tersilap dan tersasar kerana sejarah menunjukkan jika kita mengekalkan kesilapan dalam UMNO, kita pasti terkorban, berhati hatilah.