Followers

Sunday, September 19, 2010

KHAIRY JAMALUDIN DAN REEZAL MARICAN, TERPERANGKAP DALAM KERAMAT UMNO.

Sewaktu UMNO dikatakan parti keramat, ia memang sebenarnya keramat. Ia bukan ungkapan retorik atau slogan kosong. UMNO telah melalui banyak pengalaman. UMNO telah menempuh pelbagai ranjau dan duri. Sehingga kini UMNO kekal sebagai salah sebuah parti paling lama bertahan di dunia.

UMNO ditubuhkan dengan keringat dan air mata. UMNO diasaskan oleh raja dan hamba. UMNO berada di istana dan di hujung hujung desa. UMNO ditubuhkan dan dipelihara kerana cinta kasih kepada agama, bangsa dan negara.

Oleh yang demikian sejarah UMNO membuktikan siapa sahaja yang ingin berpencak di gelanggang UMNO haruslah mengikut adab dan tertib. Anwar Ibrahim adalah contoh terbaik bagaimana kecurangan kepada perjuangan pasti membawa petaka kepada individu berkenaan.

Kini saya melihat ada sekurang kurangnya dua orang tokoh pemuda UMNO yang sedang berpencak di gelanggang UMNO dan mungkin menerima nasib yang sama seperti Anwar jika pembetulan tidak dibuat serta merta.

Khairy Jamaluddin dan Reezal Marican boleh dianggap sebagai tokoh segera dalam UMNO. Mereka naik tanpa akar yang menjalar di bumi. Tiba tiba berada di puncak. Kerana itu barangkali mereka kerap tersasar dan tersilap. Apa jua yang dibuat seakan tidak kena dan tidak sesuai.

Terbaru apabila Reezal Marican meminta Lim Guan Eng mendedahkan sumber yang digunakan bagi sumbangan kepada warga emas di Pulau Pinang. Tindakan ini nampak sensasi tetapi tiada bererti kepada UMNO.

Keperluan sebenar UMNO ialah pengundi. 4 juta orang masih belum mendaftar walaupun layak. Jika Pemuda UMNO berjaya mendaftar mereka saya percaya kita akan menang besar dalam pilihanraya. Khairy dan Reezal adalah anak muda dalam UMNO. Tidak melakukan sesuatu yang betul akan beri kesan buruk kepada UMNO.

Kejayaan sebenar mana mana parti politik ialah memenangi pilihanraya. Khairy dan Reezal bergurulah, belajarlah daripada orang orang lama dalam parti. Usah tersilap dan tersasar kerana sejarah menunjukkan jika kita mengekalkan kesilapan dalam UMNO, kita pasti terkorban, berhati hatilah.

Wednesday, September 15, 2010

PERKASA-UMNO, MENYEMPURNA PERPECAHAN

Sejak dari awal sejarah Melayu dapat dikesan, umat Melayu tidak terlepas daripada konflik , krisir dan masalah lainnya. Apabila datang Islam, konflik dan krisis ini masih berlaku tetapi terdapat usaha menanganinya atas ' tali Islam '.

Umat Melayu dikatakan sebagai personaliti yang umumnya baik, bersifat menerima dan terbuka. Ditambah dengan akhlak Islam itu maka umat Melayu menjadi bangsa yang amat istimewa. Dalam kebaikan, kelembutan dan keistimewaan itulah umat Melayu dapat mengusir penjajah Inggeris yang pada ketika itu merupakan kuasa paling dominan di dunia.

Akhir akhir ini didapati umat Melayu semakin kehilangan identiti. Umat Melayu keliru dengan dirinya. Dalam kekeliruan ini umat Melayu berpecah belah. Kalau dahulu umat Melayu yang jelas jati diri berjaya mengusir penjajah, kini umat Melayu yang keliru memungkinkan ia terjajah semula walaupun bentuknya berbeza.

Mari kita merujuk kepada dua organisasi Melayu yang dominan sekarang. PERKASA dan UMNO. ( Maaf, PAS tak layak masuk dalam senarai kerana ia memang telah dijajah oleh DAP ).

Keduanya bercakap tentang penyatuan Melayu tetapi dalam masa yang sama salah menyalah. Tuduh menuduh. Media dijadikan medan tolak menolak sehingga perbalahan ini disaksikan oleh dunia.

Hakikatnya PERKASA dan UMNO tidak logik berbalah, Masing masing ada kaedah yang berbeza mencapai matlamat yang satu iaitu memartabatkan Melayu dan mempertahankan perlembagaan.

Tidak masuk akal sebenarnya apabila kedua dua pertubuhan ini menyeru kepada penyatuan dalam keadaan berkelahi. Mengapa tidak kedua dua pihak duduk semeja dan berbincang kerana semua kita menjangkakan jika sesuatu tidak dibuat akhirnya kita akan berbalah, berkelahi sebagai bangsa yang tidak mempunyai apa apa selain sejarah yang tak dapat diulang.

Sunday, September 12, 2010

AHMAD MASLAN SAMA MACAM KHAIRY ?


Ahmad Maslan mungkin seorang yang hebat, terpelajar dan berkebolehan. Mungkin. Jika tidak mana mungkin Ahmad Maslan dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO. Dasar UMNO, perkembangan UMNO, Ahmad Maslanlah pelapornya kepada ahli khasnya yang berada di akar umbi.

Oleh kerana UMNO menjadi tunjang kepada kerajaan maka Ahmad Maslan juga wajib menerangkan kepada rakyat dasar dasar kerajaan. Di antara yang masih gagal diberikan kefahaman kepada rakyat ialah

1. 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
2. UMNO Juara Rakyat
3. MBE Model Baru Ekonomi.

Saya berpandangan bahawa sebahagian daripada punca kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional ialah kerana rakyat gagal diberikan kefahaman sepenuhnya mengenai dasar dasar kerajaan. Rakyat barangkali keliru dan tidak jelas. Atau mungkin juga rakyat kurang percaya.

Ini semua menggambarkan betapa Ahmad Maslan mempunyai kerja yang cukup banyak. Bermula dengan melatih jentera di peringkat negeri dan bahagian sehinggalah mempastikan jentera ini berfungsi dengan berkesan.

Ahmad Maslan juga perlu amat berhati hati mengeluarkan kenyataan kerana kesilapan dalam kenyataan memungkinkan kesan yang buruk terhadap parti. Kenyataan Ahmad Maslan yang terkini mengundang beberapa persoalan. Kenyataannya berbunyi " AHLI PERLU BEZAKAN PARTI DENGAN PERKASA".

Persoalannya ialah :-

1. Adakah Ahmad Maslan benar benar memahami denyut nadi ahli UMNO ?
2. Adakah Ahmad Maslan sendiri meragui kesetiaan ahli UMNO ?
3. Jika benar wujud keraguan tentang ' persaingan antara PERKASA dan UMNO adakah Ahmad
Maslan ada cara untuk meningkatkan kualiti ahli UMNO ?
4. Adakah Ahmad Maslan berasa telah gagal memberi kefahaman kepada ahli UMNO ?

Beberapa persoalan di atas perlu dijawab dan disusuli tindak ikut yang bermakna. Jika telah ada kerisauan tentang keberkesanan UMNO dalam memperjuangkan hak Melayu Ketua Penerangan perlu menggerakkan jentera untuk meredakan kerisauan ini. Jika telah luntur keyakinan orang Melayu kepada UMNO Ahmad Maslan kena adakan program memulihkan keyakinan ini.

Saya tidak fikir Ahmad Maslan wajar tampil memberi peringatan peringatan kerana beliau adalah Ketua Penerangan yang diyakini dan dipercayai oleh Presiden parti untuk menawan hati ahli. Setakat ini kita tidak nampak Ahmad Maslan sudah bermula.


30 MINIT : TERANG, JELAS DAN NYATA


30 Minit adalah masa yang amat terbatas. Tidak banyak perkara dapat diperkatakan dalam tempoh sesingkat itu. Tambahan pula yang bercakap adalah Perdana Menteri bagi sebuah negara majmuk dan unik seperti Malaysia.

Tetapi Najib berjaya melakukannya. Inilah bezanya Najib dengan kebanyakan pemimpin lain.
Sewaktu diwawancara dalam rancangan THE CNBC Conversation oleh Martin Soong, Najib telah memberikan jawapan jawapan berbentuk kesimpulan yang sebenarnya jika diteliti dan dihayati akan jadi alat berkesan ke arah membina dan membangunkan negara bangsa.

Selain merangsang penyokong, pengikut dan rakyat terbanyak, kenyataan ini juga merupakan ombak yang boleh meruntuhkan pakatan pembangkang jika ianya digunakan dengan betul. Antara kesimpulan yang telah dibuat ialah :-

1. MBE tidak akan menghakis apalagi menghapus hak bumiputera.
2. MBE menjamin hak rakyat pelbagai kaum yang selama ini sama sama membangunkan negara
3. Kerajaan komited dan yakin akan mampu mencapai hasrat Wawasan 2020
4. Kerajaan tidak menganggap Perkasa dan Tun Mahathir sebagai seteru tetapi menghargai hak
mereka menyuarakan pandangan sebagai orang Melayu
5. Kerajaan yakin dengan pertumbuhan ekonomi dan bekerja keras meningkatkannya.

Sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional , Najib amat jelas dan tegas dengan apa jua dasar, rancangan dan dasar yang perlu dijayakan.

Amat penting disedari ialah Najib perlukan sokongan dan dokongan daripada Jemaah Menteri, pemimpin pemimpin parti semua peringkat, pegawai pegawai kerajaan dan rakyat seluruhnya.
Saya bimbang dalam masa semua pihak ini gagal berperanan dengan berkesan menjadi alat penyampaian yang bermakna, pihak pembangkang dilihat berjaya memutarbelitkannya mengikut keperluan mereka.

Satu kemungkinan yang harus dilihat ialah perlunya diwujudkan satu agensi khusus bagi menerangkan apa jua dasar kerajaan kepada rakyat di samping menjawab tohmahan pembangkang. Ini terpaksa dilakukan bagi mengelakkan dasar yang baik akhirnya mendatang hasil yang tidak memberangsangakan.

Saya percaya, masanya telah tiba untuk Najib lebih bertegas dan berani melakukan penilaian khasnya terhadap para pemimpin kerajaan dan parti. Percayalah , apa jua yang dilakukan untuk kebaikan rakyat dan negara , rakyat pasti akan bersama.

Thursday, September 9, 2010

DENGARLAH NASIHAT MURSYIDUL AM PAKATAN PEMBANGKANG

Harakahdaily.net menyiarkan perutusan Hari Raya oleh Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim dalam edisi terbarunya. Saya membaca perutusan tersebut yang saya anggap sebagai satu proses meludah ke langit dan membaling batu menyembunyikan tangan. Atau memang DS Anwar berhajat untuk mendidik pimpinan dan ahli PAS.

DS Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Ramadhan yang mulia ini sewajarkan diisikan dengan kegiatan yang meningkatkan taqwa dan membina ukhwah sesama Islam. Elakkan daripada menyemai kebencian sesama insan. Elakkan fitnah dan adu domba.

Inilah hebatnya Anwar. Dia boleh mengeluarkan kenyataan seolah olah bukan dia yang berbuat sesuatu itu. Tinjaulah di mana mana surau dan masjid. Pergilah ke markas markas PAS. Tiada penceramah dan ustaz PAS dan pimpinan PKR yang memberi tazkirah selain menyemai dan menyuburkan kebencian.

Tiada seorang pun di antara mereka yang menyampaikan tazkirah melainkan dengan niat mengajak khalayak menghancurkan UMNO. Bukankah UMNO itu orang Islam. Di manakah ukhwah yang Anwar sebutkan.

Perhatikan pula Perutusan Perdana Menteri. Mengajak rakyat bersyukur dan menghargai kemakmuran. Mengajak rakyat belajar dari kesukaran masa lalu. Mengajak rakyat membina masa hadapan. Tiada unsur sinis dan sindiran.

Begitulah ALLAH mengaturkan. Sudah sampai masanya, Anwar tidak lagi dapat menyembunyikan wajahnya yang sebenar.

Wednesday, September 8, 2010

BENARKAH ADA HARI KEMENANGAN UNTUK KITA ?

Sebentar tadi telah diumumkan bahawa Hari Raya Aidil Fitri jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010. Mari kita bersyukur kerana kita masih lagi berpeluang meraikan hari kejayaan dan kemenangan ini dalam suasana aman dan makmur.

Dari dahulu lagi kita dididik bahawa Hari Raya adalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Umumnya di Malaysia kita merayakan hari indah ini secara meriah dan gembira. Budaya kita ialah yang kaya dan berpeluang akan membantu yang miskin dan susah agar sama sama menikmati Hari Raya.
g
Sekiranya kita berumur 40 tahun maka telah 40 kali kita meraikan hari kemenangan ini. Jika 60 tahun umur kita maknanya kita berpengalaman berhari raya selama 60 kali. Untuk sekali ini, dalam keadaan umat Melayu Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan marilah kita mengambil sedikit masa untuk menilai adakah kita telah mencapai ' kemenangan' sebenarnya atau kita menyambut hari bahagia ini sebagai satu ritual streotaip saban tahun.

Adakah berhak kita dikatakan ' menang ' jika kita masih lagi mempunyai rasa untuk jatuh menjatuhkan sesama sendiri ? Adakah kita berhak mendakwa diri kita ' menang ' jika kita masih selesa menyebarkan fitnah dan mengadu domba ? Adakah ibadah puasa yang kita jalani saban tahun telah berjaya menjadikan kita orang yang bersyukur ? Adakah kita telah berpuasa dengan bermakna jika setiap malam kita mengaturkan majlis tazkirah bagi mengindoktrinasi umat Islam agar bangkit menentang pemerintah yang selama ini menyediakan suasana amat kondusif untuk kita berpuasa dan melakukan ibadah yang lain ?

Atau mari kita bertanya, adakah telah mencapai kemenangan kita ini jika kita menyokong orang kafir yang mengusir saudara kita dari kampung halaman mereka ? Benarkah kita telah menang jika kita menipu, memperdaya orang orang yang percaya kepada kita dengan janji yang tidak pernah cuba kita tunaikan?

Kita tanyalah diri kita, layakkah kita digelar pemenang jika kita berusaha bersungguh sungguh menjatuhkan pihak yang selama ini menyediakan ruang dan peluang untuk hidup melebihi keselesaan biasa ? Menangkah kita jika rumah Allah yang dibina oleh orang yang kita benci , kita jadikan tempat kita melepaskan dendam kesumat ?

Tidakkah kita malu untuk mengaku menang jika kita menolak kebaikan dan menggantikannya dengan keburukan yang memungkinkan kehancuran ? Akhirnya marilah kita bertanya diri kita adakah puluhan tahun kita berpuasa dan kesannya kita tidak pernah mendapat sebarang pengajaran selain lapar dan dahaga ?

Marilah kita bertanya kepada diri kita pada hari kemenangan ini, apakah kita ini orang yang menang atau kita sekadar menjadi sebahagian daripada ' kemenangan yang palsu'?
Kepada pembaca, jika kita gagal bertanya dan menjawab dengan betul soalan soalan tadi dan berusaha melakukan perubahan maka bersedialah untuk di masa masa yang akan datang menangisi hari yang dikatakan ' hari kemenangan '.

Monday, September 6, 2010

1 MALAYSIA - MAMPUKAH KITA ?



" 13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama lamanya. Kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.

Kita seharusnya bangga dengan apa yang telah kita capai. Dengan semangat perpaduan dan keharmonian serta kerjasama dan rasa muhibbah, maka kita telah mengatasi segala kesulitan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran yang tidak ada tolok bandingnya.

Oleh itu amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup bersama sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman, hormat menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian dan keamanan". Tunku Abdul Rahman, 1969.

Inilah antara kenyataan Perdana Menteri Pertama kita selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kini selepas puluhan tahun, kita dapati unsur, punca, sikap, perlakuan, pemikiran dan perasaan serupa rakyat ketika itu sedang marak menjalar dalam masyarakat kita.

Ketika inilah Allah turunkan ilham kepada Najib Tun Razak, yang menerima pertanggungjawaban mentadbir negara bangsa dalam keadaan konflik dan krisis. Allah kurniakan Najib keupayaan melontarkan konsep 1 Malaysia sebagai penawar amat berkesan bagi mempastikan bencana 13 Mei 1969 tidak berulang. Persoalannya adakah kita mahu dan mampu menjayakannya ?