Followers

Thursday, November 18, 2010

AKHIRNYA PAS DAN PKR MENGIKUT JEJAK DAP

BANGGA PERJUANGANNYA MULA DIWARISI


MENGGUNAKAN KAEDAH KOMUNIS MENCARI PENGARUH

PAS mengadakan sambutan 25 tahun Peristiwa Memali mulai hari ini sehingga Ahad. Pelbagai program dan aktiviti diadakan bagi mengenang kematian Ibrahim Libya dan pengikutnya 25 tahun yang lalu.

Saya sejak dahulu tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kekerasan walau apapun matlamat dan tujuannya. Saya bersimpati dengan apa yang berlaku.

Mengapa program ini dibuat secara besar besaran dan mendapat sokongan penuh DAP ?

1. Ia bertujuan untuk mencetuskan rasa benci rakyat kepada kerajaan. Pengisian program saya yakin akan secara ekstrem menggambarkan betapa zalimnya kerajaan UMNO/BN ini.

2. Ia diharapkan akan mewujudkan lagi kumpulan ekstrem seperti Ibrahim Libya dan pengikutnya yang dilihat mampu menggugat keamanan negara.

3. Ia juga bertujuan bagi menyuburkan jiwa ganas dalam kalangan masyarakat kerana ' individu atau kumpulan berjiwa ganas ini akan digunakan pada masa yang diperlukan '.

4. Mempastikan peristiwa Memali ini sentiasa dikenang agar rasa sedih, pilu dalam keluarga mangsa sentiasa subur dan segar.

5. Program ini juga adalah satu kaedah bagi mengurangkan sokongan kepada UMNO/BN yang dilihat semakin diterima rakyat.

Saya tidak berhasrat mengeluarkan hukum. Tetapi saya ingin bertanya kepada PAS. Jika benar Ibrahim Libya dan pengikutnya syahid mengapa Haji Hadi dan pengikutnya tidak menggunakan kaedah yang sama.

Tidakkah Haji Hadi menolak peluang jihad seperti yang dilaung laungkannya? Tidakkah orang Islam yang menolak daripada berjihad ini boleh dianggap bacul ?

Atau Hadi dan rakan rakan tahu, bahawa pemberontakan bukan cara yang betul untuk menumbangkan kerajaan. Dalam masa yang sama Hadi juga menyedari tidak ada apa yang mampu PAS tawarkan kepada rakyat selain retorik.

Saya pasti DAP gembira. Dia akan menyaksikan bagaimana racun yang selama ini ditabur mula menampakkan kesannya.

KERAJAAN DISABOTAJ PEGAWAI SENDIRI

" GURU , MAJORITI SENYAP YANG WAJAR DIJAGA "



PELBAGAI PERATURAN MENYUSAHKAN RAKYAT

Hari ini adalah hari kedua Hari Raya Korban. Kebayakan pejabat telah beroperasi semula. Memang benar, ada banyak kerja dapat dilaksanakan dalam masa sehari.

Namun begitu apabila sekolah sekolah di Perak hanya bercuti sehari, ianya menjadi satu isu besar yang mungkin memberikan implikasi buruk kepada kerajaan.

Pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran yang membolehkan cuti telah dinafikan oleh Jabatan Pelajaran Perak yang membatalkan arahan tersebut.

Ini bermakna guru dan pelajar yang pulang berhari raya di Kelantan atau Terengganu ( yang meriah sambutan Aidil Adhanya ) terpaksa pulang semula ke Perak selama dua hari sebelum cuti panjang hujung tahun.

Arahan JPN Perak ini disambut ' sinis ' oleh guru dan ibu bapa. Dengan segera perbandingan dibuat dengan sambutan Deepavali bilamana sekolah bercuti sekurang kurangnya tiga hari.

Apabila keadaan ini berlaku, Pengarah JPN Perak tidak dipersalahkan. Yang dilihat bersalah, tidak Islamik ialah Kerajaan yang ditunjangi UMNO. Inilah masalahnya.

Tentunya kita boleh berhujah. Kita boleh memberi rasional. Tetapi bolehkah kita berhujah dengan semua orang. Atau kalau boleh, bolehkah semua orang ini menerima hujah dan alasan kita ?

Kesimpulan yang dibuat dengan ' bimbingan pembangkang ' ialah kerajaan tidak menjaga sensitiviti umat Islam tetapi sangat mengambil hati masyarakat Hindu.

Sekali lagi pembangkang bijak mengambil peluang. Pastinya dengan mudah ibubapa dan guru guru yang kecewa mempercayai mereka.

Kalau boleh memberi cadangan, saya ingin mencadangkan agar kerajaan lebih prihatin. Perkara yang kita fikir kecil mungkin kesannya besar. Secara perbandingan sayugia diingati bahawa DUN Pengkalan Baru ( 2008 )BN hanya menang dengan 14 undi, manakala bagi DUN Lubuk Merbau ( 2008 )BN telah kalah 72 undi dan ini mengakibatkan Perak terlepas ke tangan DAP.

Kerajaan diharap lebih berani, tegas dan jelas. Sekali lagi, usahlah berfikir untuk menjadi begitu budiman sehingga kerajaan dilihat tidak menguasai kakitangannya sendiri.

Wednesday, November 17, 2010

MENGAPA ANWAR BEGITU CEMAS

" ANWAR TEWAS DI TANGAN KARPAL YANG UZUR "


ANWAR SEDAR DIA AKAN DIDAPATI BERSALAH..

Saya mempunyai keyakinan bahawa Anwar tahu bahawa dia sudah begitu terdesak. Saya juga yakin bahawa barisan peguambela Anwar yang diketuai oleh Karpal Singh akan berundur.

Saya amat percaya sokongan DAP selama ini adalah mainan politik semata mata.Malangnya Anwar, dalam pada dia fikir untuk mainkan DAP, DAP lebih cekap mempermainkannya.

Saya pernah menyebut dan ingin menyatakan sekali lagi bahawa sebagai sebuah parti yang menggunakan kaedah komunis dalam mencapai matlamat mereka, DAP memang cekap memanipulasi ' konflik dan krisis untuk kepentingan mereka
sendiri.

Apakah asas andaian saya ini ?

1. Sejak dari awal Karpal Singh dan DAP percaya bahawa Anwar adalah pemimpin yang tidak bermoral dan tidak boleh dipercayai.

2. Hasrat DAP untuk menjadikan Anwar sebagai alat memecah belahkan orang Melayu telah tercapai.

3. Hasrat DAP untuk menjajah PAS melalui Anwar Ibrahim nampaknya berjaya 100 % sehingga PAS sanggup menggadai prinsip bahkan maruah Islam. Isu kalimah ALLAH adalah contoh yang amat tepat.

4. Hasrat DAP untuk mewujudkan ' Melayu Beku ' juga telah berjaya melalui perkhidmatan Anwar. Sekarang telah ada sekumpulan umat Melayu yang tidak berasa apa apa menjadi Melayu bahkan ada yang mengaku bukan Melayu termasuk Nik Aziz.

5. Hasrat DAP untuk ' menggambarkan kerajaan UMNO/BN sejahat jahat kerajaan ' nampaknya tidak berjaya apabila Najib mengambil alih pentadbiran daripada Pak Lah .

Sebahagian daripada ' hasrat ' di atas adalah kaedah DAP untuk menjajah Malaysia. Samada berhasil atau tidak, sekurang kurangnya Anwar telah berikan sumbangan besar kepada mereka.

Sekarang Anwar adalah sampah. Anwar perlu mencari kaedah lain bagi menyelamatkan dirinya. Mereka telah nampak, betapa Anwar mungkin tak dapat diselamatkan lagi.

Anwar sedang terdesak sekarang. Anwar telah menemui jalan mati.

INILAH KEBENARANNYA..


TOPENG ANWAR TERBUKA SATU PERSATU

Hari ini seluruh umat Islam di seluruh dunia tunduk sujud kepada ALLAH Taala, hari ini seluruh umat Islam di seluruh dunia menyerahkan diri kepada ALLAH untuk memohon keampunan . Benar, apalah kita sebagai hamba selain memohon dan merayu kepada PENCIPTA.

Malangnya hari ini Anwar Ibrahim juga tunduk dan sujud mohon pertolongan daripada Ahli Parlimen Australia. Hari ini Anwar Ibrahim yang kerap bercakap tentang reformasi dan perubahan telah benar benar mengubah tempat sepatutnya ia mengadu dan memohon pertolongan.

Inilah Anwar Ibrahim yang sekarang sedang bertungkus lumus meminta pertolongan daripada rakan rakannya yang selama ini ' percaya sepenuhnya ' kepada Anwar. Malangnya , Anwar meminta mereka memberi tekanan kepada Kerajaan Malaysia agar tuduhan liwat terhadapnya digugurkan.

Satu perkara yang barangkali Anwar tidak dinasihatkan ialah Anwar tidak didakwa di mahkamah oleh Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia tidak ikut campur urusan peribadi Anwar.

Anwar dibawa ke mahkamah oleh mangsa liwatnya yang memerlukan pembelaan dan keadilan. Anwar tersilap apabila memburukkan kerajaan di luar negara. Anwar ' dinilai bodoh' oleh rakan rakannya sendiri.

Jika kerajaan mahu campurtangan, sudah tentu Anwar tidak akan dapat memohon penangguhan demi penangguhan. Anwar tidak pernah diganggu oleh kerajaan untuk membela diri.

Anwar pergilah ke luar negara. Ceritakanlah betapa jahatnya Kerajaan Malaysia. Kemudiaan Anwar akan pulang dan di belakangnya , rakan rakan Anwar baru ' SEDAR BETAPA BODOHNYA ANWAR IBRAHIM '


Tuesday, November 16, 2010

GERAKAN ANTI NIK AZIZ SEMAKIN KETARA

" KETIADAANNYA DINANTIKAN OLEH SEGELINTIR PIMPINAN PAS "


NIK AZIZ BAKAL DISINGKIRKAN OLEH AHLI PAS SENDIRI

Golongan anti Nik Aziz nampaknya benar benar menggunakan kesempatan semasa ketiadaan Nik Aziz untuk menghakis pengaruh
Nik Aziz di dalam PAS.

Gerakan ini semakin berani menonjolkan diri selepas PAS gagal mempertahankan DUN Galas yang secara keseluruhannya dikatakan berpunca daripada kesilapan Nik Aziz.

Perbuatan Nik Aziz ' memberi zakat ' kepada pengundi orang asli dikatakan faktor paling utama menyebabkan pengundi muda beralih arah sokongan.

Penganjuran Seminar PAS ganti UMNO dikatakan sebagai salah satu usaha mengembalikan ' semangat Melayu ' di dalam PAS yang selama ini dilarang sama sekali oleh Nik Aziz.

Presiden PAS juga dikatakan amat bersungguh sungguh menunjukkan
' jiwa Melayunya ' sewaktu menyeru pengundi Melayu untuk meninggalkan perjuangan UMNO.

Hari ini , Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad membicarakan persoalan kronisme yang akan menjejaskan keupayaan untuk mentadbir negara.

Dikatakan bahawa sindiran Idris Ahmad benar benar mahu mengingatkan ahli PAS kepada isu ' anak menantu ' Nik Aziz yang membina kekayaan di Kelantan.

Menurut penganalisis politik, perkembangan ini akan membawa perubahan drastik di dalam PAS tidak lama lagi.

AHMAD MASLAN MABUK MENANG

' BANYAK BERCAKAP BUKAN PETANDA BIJAKSANA '


KEMENANGAN DI GALAS DAN BATU SAPI BUKAN KERANA
KEBERKESANAN PENERANGAN

Ahmad Maslan adalah muka baru dalam UMNO. Sama seperti ramai tokoh lain yang tiba tiba berada di puncak, Ahmad Maslan pada pandangan saya tidak begitu menghayati ' adab dan adat 'yang menjadi pegangan UMNO selama ini.

UMNO ini adalah ' parti keramat '. Yakinlah, keramatnya UMNO kerana ia dibina dan digerakkan atas pakat. Segalanya dilaksanakan berasaskan perbincangan dan permuafakatan.

Kebanyakan Ketua UMNO cawangan secara umumnya adalah orang tua yang telah puluhan tahun menjadi Ketua Cawangan. Kebanyakan mereka juga tidak mempunyai kelulusan tinggi dan sebahagian besarnya hidup amat sederhana.

Tapi bagaimana mereka memimpin dan mentadbir ? Mereka berjaya kerana mereka memimpin permuafakatan. Anak buah yang jauh lebih terpelajar tidak ghairah merebut jawatan kerana hormat kepada permuafakatan ini.

Inilah kegagalan Ahmad Maslan. Ahmad Maslan adalah Ketua Penerangan. Jawatan yang dilantik oleh Presiden Parti. Ketua Penerangan tidak boleh
'mengeluarkan kenyataan seperti Presiden'. Sangat tidak bijak dan memalukan sebenarnya.

Sebelum ini Ahmad Maslan mengajak PAS menyertai BN. Hari ini Ahmad Maslan mengumumkan slogan baru UMNO. Dahulukan Rakyat menggantikan Dulu, Kini dan Selamanya.

Slogan UMNO tidak seperti slogan PAS atau PKR. Slogan UMNO selamanya menjadi panduan perkhidmatan seluruh ahli dan pimpinan UMNO. Ia adalah sesuatu yang sagat besar maknanya kepada parti dan rakyat.

Saya tidak fikir Ahmad Maslan selaku Ketua Penerangan wajar mengumumkannya. Rakyat sedang ghairah dan amat teruja dengan Presiden parti.

Setiap patah perkataan Presiden parti menjadi pendorong dan perangsang.Ahli UMNO menunggu apa jua kenyataan Presiden. Ahmad Maslan seakan tidak memahami ' muafakat ' dalam UMNO menghadirkan rasa ' segan, hormat, dan taat kepada pemimpin. Jika ini dapat dihayati UMNO akan kekal, insyaallah sampai bila bila.

Saya fikir Ahmad Maslan ghairah selepas menang di Galas dan Batu Sapi. Tapi Ahmad Maslan mesti ingat bahawa kita masih kehilangan 4 negeri.

Monday, November 15, 2010

PAS DISERANG ANGIN AHMAR

" ANGIN AHMAR ADALAH PENYAKIT YANG SUKAR DIPULIHKAN "
- Gambar hiasan



SEKARANG HANYA MAMPU BERCAKAP TETAPI
TIADA UPAYA BERGERAK

Satu ketika dahulu saya berpeluang menjaga seseorang yang diserang angin ahmar yang menyebabkan dirinya lumpuh seluruh badan.

Menurut doktor yang merawat pesakit ini, punca angin ahmar tersebut ialah tekanan darah tinggi yang naik secara mendadak akibat tekanan perasaan yang melampau.

Nasihat doktor kepada orang yang menjaga pesakit angin ahmar ialah antaranya :-

1. Pesakit biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil dan cenderung untuk naik marah dengan cepat.

2. Pesakit boleh maut pada bila bila masa kesan ketidakstabilan emosi yang melampau .

3. Akan sampai satu ketika pesakit hilang semua keupayaannya termasuk kebolehan untuk bercakap.

Nasihat doktor kepada kami, sebagai langkah pencegahan ialah amalkan gaya hidup sihat dan pastikan kita mengimpikan sesuatu yang boleh dicapai bagi mengelakkan kekecewaan melampau.

Apa pulak kaitannya dengan PAS? Saya dapati, selepas kalah teruk di Galas, PAS seakan akan diserang angin ahmar. Mereka bercakap tanpa dapat dikawal sehingga ke peringkat tidak munasabah.

Dan dalam masa yang sama nampaknya mereka gagal melakukan sebarang tindakan. Sebagai contoh apabila banjir melanda Kedah.
PAS gagal melakukan apa apa selain menjawab kritikan dan rintihan rakyat.

PAS seakan hilang ingatan. Mari kita bayangkan cara bagaimana PAS memberi reaksi apabila Ahmad Maslan menawarkan untuk berbincang. PAS seperti parti yang sedang menguasai negara. PAS seperti baru sahaja menumbangkan UMNO di Galas.

PAS sedang sakit. Walaupun kita tidak terlibat merawatnya , usahlah kita menambah kesakitan yang ada. Kepada Ahmad Maslan, mari kita bersama menjaga kesihatan kita. Jiwa, mental dan fizikal yang sihat akan membolehkan kita memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.