Beberapa hari sebelum 16 Mei media dah mula mainkan emosi guru dengan beberapa berita, catatan dan andaian bahawa Perayaan Hari Guru 2010 ini akan menjadi antara hari guru paling indah dalam sejarah. Saya juga berdebar dengan harapan tentu ianya merupakan sesuatu yang menarik kerana kebetulan Menteri Pelajaran adalah Timbalan Perdana Menteri.
Sebagai guru yang sudah bertugas lebih 20 tahun saya yakin sangat bahawa secara umum guru bukanlah golongan yang terlalu ghairah dengan imbuhan. Semua guru sebenarnya menganggap kejayaan pelajar adalah imbuhan paling bermakna.
Sebab itu bagi kebanyakan kenadaan guru tidak meminta minta walaupun ada banyak perkara berlaku kadangkala menjejaskan emosi guru. Sebagai contoh, seorang guru siswazah mungkin memerlukan 10 tahun untuk meningkat daripada DG 41 ke DG 44. Itupun sekiranya lulus PTK dan mendapat prestasi yang baik.
Guru juga redha hadir ke sekolah pada hari Sabtu walaupun kerajaan mengumumkan hari Sabtu adalah hari bersama keluarga. Guru tetap hadir setiap petang untuk latihan sukan , kelas tambahan dan kegiatan ko kurikulum yang lain.
Tetapi saya tidak fikir guru dapat menerima 'pesona palsu ' seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran. Utusan Malaysia menjadikan tajuk utama " Hadiah Untuk Guru ' sebagai paparan hari Isnin.
Apakah hadiahnya ? Pengetua, Guru Besar dan guru tertentu akan mendapat ganjaran sekiranya berjaya mencapai tahap yang ditentukan oleh Kementerian. Persoalannya :-
1. Berapa orang guru akan menerima ganjaran ini daripada lebih 200 ribu guru yang ada ?
2.Apakah syarat " prestasi " yang ditentukan oleh Kementerian ?
3.Adakah sekolah seperti Kolej Melayu, STAR, dan Sekolah Berasrama Penuh yang lain dianggap sebagai sekolah yang guru gurunya hebat berbanding sekolah lain di luar bandar ?
4.Sekiranya Pengetua, Guru Besar dan Guru Sekolah Elit ini layak menerima ganjaran, bagaimana dengan guru yang bertugas di luar bandar ?
5.Tidakkah ' ganjaran' ini akan menjadikan Pengetua dan Guru Besar begitu terangsang dan menjadikan anak buah mereka di sekolah sebagai ' pekerja' yang mesti berusaha mencapai target.
6. Adakah Kementerian selama ini menilai guru bekerja separuh hati sehingga terpaksa diumpan dengan ganjaran?
Di samping perkara di atas, Menteri juga mengumumkan kenaikan pangkat 15 ribu guru samada siswazah atau lepasan diploma. Ini juga sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia adalah kenaikan biasa yang memang berlaku setiap tahun.
Tahun lalu Menteri juga mengumumkan hadiah kepada guru. Seingat saya hadiah itu ialah peluang kenaikan pangkat kepada tidak sampai 30 orang warga pendidik. Saya percaya, mendidik adalah tugas mulia. Guru bahagia mendidik. Guru bahagia melihat anak didik berjaya. Tapi guru tak gembira dijanjikan sesuatu yang sebenarnya tiada. Dalam kata lain, guru sedih apabila ditipu.
No comments:
Post a Comment